Tips: Wanita Yang Perlu Elak Dinikahi

Thursday, May 23, 2013
muslimah

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada mengatakan ungkapan yang bermaksud;

Janganlah kamu menikahi 6 jenis wanita iaitu: Al-Annanah, Al-Mananah, Al-Hananah, Al-Haddaaqah, Al-Barraqah dan As-Syaddaqah.
-Imam Al-Ghazali

Berikut adalah penjelasan bagi jenis-jenis wanita yang disebut tadi, harap menjadi renungan buat kita semua.

Al-Annanah

Perempuan yang banyak mengeluh dan mengadu. Selalu membalut kepalanya sebagai tanda sakit bagi menunjukkan dia rasa terbeban dengan tugasan hariannya, kerana malas atau memang sifat semulajadinya suka mengeluh walaupun disebabkan perkara kecil. Perempuan tersebut berpura-pura sakit supaya suaminya tidak membebaninya dengan tugasan harian.

Al-Mananah

Wanita yang menidakkan kerja keras dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Sering mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Sampai satu masa dia akan mengatakan “Saya telah melakukan untuk kamu itu dan ini”.

Al-Hananah

Wanita yang suka mengingati dan membandingkan suaminya dengan bekas suami atau anak dengan anak daripada bekas suami. Malah selalu berangan-angan untuk mendapat yang lebih baik daripada suami yang sedia ada. Wanita seperti ini tidak akan menghargai suaminya walaupun suaminya berusaha memuaskan segala kemahuannya.

Al-Haddaqah

Wanita yang menginginkan setiap benda dalam hidupnya walaupun bukan keperluan lalu menjurus kepada pembaziran. Sikap boros ini akan membebankan suami untuk menanggung segala pembeliaan.

Al-Barraqah

Maksud Pertama : Wanita yang kuat berhias tidak mengira masa dan tempat (melampau dalam berhias) tetapi bukan untuk suaminya. Wanita ini juga jenis yang suka dipuji dan orang lain tidak boleh lebih baik/cantik/bagus dari dirinya.

Maksud kedua : Wanita yang apabila marah, tidak mahu makan. Dia tidak akan makan kecuali bila bersendirian dan dia akan mengasingkan sebahagian untuk dirinya sendiri.

As-Syaddaqah

Wanita yang kuat bercakap walaupun sesuatu yang tidak perlu. Kerja yang dibuat sendiri tidak siap tetapi mulut masih becok.