Tips: Mendidik Bayi Bercakap

Wednesday, February 20, 2013
bayibercakap

Proses pengajaran bayi diketahui adalah suatu proses yang berterusan dan memerlukan sikap tidak berputus asa. Bayi yang cepat bercakap akan lebih mudah diurus kerana mereka pandai menzahirkan kemahuan mereka melalui percakapan. Malah ibu bapa juga akan mudah menyampaikan mengenai perkara yang dilarang beserta sebab-sebabnya.

Bercakaplah Dengannya

Bayi anda amat sensitif dengan segala deria yang dipunyainya termasuklah pendengaran. Apa sahaja yang didengar akan dirakam dan ditafsir kemudian. Mereka perlu merakam sebanyak mungkin ungkapan perkataan untuk disebut mungkin 2-3bulan akan datang. Tetapi ingat, hendaklah anda bercakap dengannya bukan membebel/mengomel sendirian.

Bertanya Soalan Mudah

Baby nak pakai baju merah atau kelabu?

Situasi ini bagi yang tidak biasa memanglah nampak amat janggal, terutama apabila anda bercakap dengan bayi meniarap pun masih tidak boleh. Tapi percayalah dia sedang belajar apa itu baju, apa itu merah dan apa itu kelabu. Soalan ini tidak tertakluk hanya pada warna tetapi juga pemilihan lain seperti panjang-pendek, zirafah-gajah, bunga-lebah dan sebagainya.

memek muka

Gunakan Bahasa bukan Perkataan

Bahasa bukan perkataan yang dimaksudkan adalah memek muka dan gerak tubuh. Bahasa ini boleh dianggap universal kerana semua bayi tanpa mengira benua atau bangsa boleh memahaminya. Zahirkan bahasa tersebut untuk menunjukkan rasa marah, terkejut, gembira, lega, marah atau teruja.

Membalas Percakapan

Sekiranya bayi anda bercakap dengan bahasanya sendiri, jangan lupa untuk membalas. Gunakan imaginasi anda untuk “buat-buat faham” pertuturan bayi tersebut. Lebih elok jika anda dapat membalas dengan sesuatu yang akan merangsangnya untuk lebih bercakap.

Sebagai contoh;

  • “Owh iye ke, habis tu baby menangis tak?”
  • “Kat sana tu panas. Kita duduk sini jer lah, ok tak?”
  • “Ini nama Doraemon. Doraemon nak pinjam baju baby, boleh tak?”

Jangan Menggunakan Bahasa Pelat

Kita merasakan ianya sesuatu yang lucu apabila mendengar “goo goo gaa gaa..” dari pertuturan bayi lalu membalasnya juga dengan bahasa yang sama. Ketahuilah bahawa bayi anda telah belajar sesuatu yang tidak dapat membantunya langsung dimasa hadapan. Perkataan seperti “mamam”, “nenen” dan “bobom” juga hanya menambah beban pembelajarannya apabile perlu memproses apakah itu “makan”, “susu” dan “tidur”.

Tambahan: Penggunaan perkataan yang betul akan meningkatkan kualiti perbendaharaan kata bayi dan juga pemahamannya terhadap sesuatu perkara. Anda juga tidak perlu memikirkan jawapan “mesra-bayi” seterusnya jika diajukan dengan soalan susulan.

Senaman Mulut

Tunjukkan pada bayi anda pergerakan yang boleh dilakukan dengan mulut seperti menyengetkan bibir, menjulurkan mengeluarkan lidah dan apa sahaja yang boleh dilakukan dengan mulut asalkan ianya senonoh dan galakkan ianya ditiru. Amalan ini akan membantu bayi memahami bagaimana menggerakkan bahagian-bahagian mulutnya sendiri untuk menghasilkan bunyi.

Menyanyi

Nyanyian yang menggembirakan akan merangsang bayi untuk bercakap dengan betul walaupun masih tidak memahami maksud perkataan yang disebut. Pernah kah anda bangun tidur dan secara tiba-tiba terdapat lagu yang terngiang-ngiang dan anda pun akan menyanyi secara kuat. Begitu juga dengan bayi anda.