Petua: Rawatan Jerawat

Friday, April 12, 2013
jerawat

Mengapa Jerawat Tumbuh?

Oleh kerana muka manusia adalah antara kawasan kulit yang berminyak, maka ia akan lebih mudah memerangkap kotoran dan kuman yang akhirnya akan menjangkiti kulit dan terjadi lah nanah dikulit. Kawasan yang bernanah inilah yang dipanggil jerawat.

Rawatan

Jerawat boleh dikatakan akan menyerang semua orang, dimana-mana sahaja atau berapa umurnya. Oleh itu terdapat banyak petua yang boleh diamalkan untuk merawatnya. Yang paling penting, jaga kebersihan kulit.

Inai dan Beras

Gilingkan daun inai dan beras sehingga lumat dan bulatkan adunan tersebut sebesar duit lima sen dan jemur di bawah matahari sehingga kering. Apabila anda hendak menggunakannya, titiskan sedikit air limau nipis dan sapu pada muka dengan menggunakan belahan ubi kentang.

Asam Jawa dan Kunyit

Ambil sedikit asam jawa dan beberapa inci kunyit hidup. Tumbuk kunyit itu dan campurkan dengan asam jawa dan juga sedikit air. Setelah campuran itu sebati, sapu ratakan ke seluruh muka anda. Biarkan kira-kira 15 – 20 minit . Kemudian basuh muka sehingga bersih. Jika selalu diamalkan , muka anda akan sukar ditumbuhi jerawat dan kulit menjadi lebih halus .

Limau Nipis dan Minyak Masak

Campurkan air limau nipis dengan satu sudu minyak masak. Sebelum anda tidur, sapukan ke seluruh muka anda. Sekiranya anda merasa pedih, itu hanya sementara . Esok pagi, ambil beberapa keping asam gelugur (asam keping) dan rendam dalam air panas . Setelah suam, basuhlah muka dengan air itu. Ambil asam dan gosokkan ke seluruh muka dan tempat -tempat yang berparut. Selepas beberapa minit, baru basuh dengan air biasa.

Tepung Ubi dan Asam Jawa

Campurkan beberapa sudu tepung ubi kayu dengan air asam jawa, kemudian sapukan ke muka anda. Amalkan cara ini setiap hari dan muka anda akan bertambah cerah dan lembut serta tidak berjerawat lagi.

Air Didihan Nasi

Ambil air didihan nasi yang pekat dan sapukan ke seluruh muka dan biarkan kering dan jangan menggerak-gerakkan muka. Apabila kering, basuh dengan air bersih atau jika anda ingin cepatkan berkesan, basuh dengan air suam. Amalkan setiap hari selama dua minggu berturut-turut, kulit muka anda akan bertambah bersih dan lembut .

Air Suam dan Tomato

Basuh muka dengan air suam, kemudian gosoklah muka dengan keping tomato masak. Biar ia kering dan baru anda basuh muka dengan air suam.

Pucuk Jambu Batu

Ambil segenggam pucuk jambu batu dan uparkan (seperti menggulung) di tapak tangan . Selepas itu, gosokkan ke muka dan sehingga ke leher. Biar beberapa minit supaya ia kering, kemudian basuh dengan air sejuk.

Bedak Sejuk & Daun Bunga Tanjung

Memakai bedak sejuk yang dicampurkan dengan daun bunga tanjung yang telah ditumbuk lumat bersama sedikit kapur. Kacau semua bahan ini sehingga sebati, kemudian sapukan ke muka setiap malam sebelum tidur. Selalu mengamalkan jerawat anda akan kering dan pupus .